Terengganu


Banyak keistimewaan yang boleh ditawarkan Terengganu di pulau-pulaunya. Pulau Kapas, Tenggol, Redang atau Perhentian yang memang dikenali di seluruh dunia dengan keindahannya.

Malangnya kebanyakan pelancong tempatan mahupun luar negara jika datang ke Terengganu, memilih untuk terus ke destinasi pulau pilihan mereka ini dan bila pulang, akan terus ke lapangan terbang.

Keadaan ini menunjukkan seolah-olah mereka tidak mengetahui bahawa selain pulau-pulau ini, Terengganu mempunyai banyak lagi produk dan destinasi pelancongan yang boleh dikunjungi.

Dengan keluasan 12,995 kilometer persegi, bukan sahaja pulaunya, tetapi setiap daerahnya Setiu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu turut menawarkan pelbagai tarikan pelancong.

Terengganu kini dalam usaha menumpukan promosi produk pelancongannya dengan idea baru bagi memastikan tumpuan bukan hanya terhadap pulau-pulaunya sahaja.